Covid-19: KKM kesan satu kluster baharu di KL dan dua di Sabah

0
169

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu Covid-19 termasuk satu di Kuala Lumpur (kluster Setapak) dan dua lagi di Sabah dikenali kluster Buang Sayang dan Kampung Sakong.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Setapak melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah iaitu Tawau dan Semporna dari 17 hingga 20 September lalu.

Beliau berkata, individu positif itu mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 September.

“Kes disahkan positif Covid-19 pada hari yang sama dan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster Sabah, Dr. Noor Hisham berkata, kluster Buang Sayang melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang, Sabah dari 7 hingga 20 September lalu.

“Kes menunjukkan gejala pada 19 September dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Saringan Covid-19 mendapati kes positif pada 20 September dan dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah,” katanya.

Sementara itu bagi kluster Kampung Sakong di Semporna, Sabah, kes dikesan positif pada 18 September lalu melalui saringan komuniti namun tidak menunjukkan tanda bergejala.

“Kes telah dibawa ke Hospital Tawau, Sabah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi semua kluster dijalankan bagi mengekang penularan wabak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here