
CYBERJAYA – Kluster Benteng LD di Sabah menyumbang angka tertinggi kes positif baharu Covid-19 hari ini apabila sebanyak 167 kes dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 76 kes daripada jumlah itu melibatkan warganegara, dan 91 lagi melibatkan bukan warganegara.
Bagi kes melibatkan warganegara, 70 kes adalah dalam kalangan banduan dan enam lagi melibatkan orang awam yang dikesan melalui saringan kontak rapat.
Kes melibatkan bukan warganegara pula, iaitu sebanyak 91 kes, melibatkan warga Filipina (61) dan Indonesia (30).
Sementara itu, dua kluster di Kedah menyumbang kes selebihnya iaitu di kluster Sungai (11 kes) dan kkuster Telaga (3).
Kes positif baharu Covid-19 kembali mencecah tiga angka apabila sebanyak 182 kes baharu dilaporkan hari ini, dengan 181 kes akibat jangkitan tempatan, dan hanya satu kes import.