
CYBERJAYA – Satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 128 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa terbaharu itu merupakan seorang wanita warganegara berusia 80 tahun yang mengidap barah paru-paru dan darah tinggi.
“Mangsa mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang pada 14 Ogos,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, pesakit ke-9,174 itu dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Ogos lalu dan kesihatannya mula merosot dengan komplikasi yang memerlukan bantuan pernafasan sejak 14 Ogos lalu.
Semalam, KKM merekodkan satu kes kematian daripada kluster Tawar.
Noor Hisham berkata, sebanyak 14 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 9,354 dengan 151 kes aktif.
Dalam pada itu katanya, terdapat pertambahan lima kes melibatkan dua warga asing yang pulang dari Filipina dan masing-masing 1 kes pulang dari Ukraine, Inodnesia dan Pakistan.
“Jumlah saringan bukan warganegara sehingga 1 September adalah 77,323 bersamaan 3.58 peratus dengan 2,769 positif dan 84 masih menunggu keputusan,
“Hari ini tiada pertambahan kes positif di depot tahanan imigresen manakala terdapat 13 kluster yang masih aktif di seluruh negara” katanya.