[VIDEO] Gilap potensi anak melalui pengucapan awam

0
371
Sesi pengucapan awam sempena Hari Graduasi AHM Speaking Academy yang diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini.

RAUDHAH CITY – Penuh semangat dan berkeyakinan. Itulah yang ditonjolkan oleh 25 kanak-kanak semasa sesi pengucapan awam sempena Hari Graduasi AHM Speaking Academi yang berlangsung di ruang legar Malakat Mall, Cyberjaya hari ini.

Kepetahan si cilik memperdengarkan cerita dengan gaya dan telatah tersendiri membuatkan pengunjung di pusat beli belah itu terpegun.

Pengasas AHM Speaking Academy, Musyawawee Mohamad berkata, sesi pengucapan awam yang diadakan di khalayak ramai itu merupakan sebahagian daripada program pendidikan selama 12 minggu yang dikendalikan pihaknya. 

“Sempena hari graduasi, anak-anak murid diberi peluang untuk berucap di tempat awam bagi membentuk keyakinan dan keberanian berucap dalam khalayak ramai secara lebih berkesan.

“Program ini bertujuan memberi pengalaman sebenar kepada anak-anak berdepan dengan khalayak umum dan mempraktikkan apa yang diajar di bilik darjah,’’ katanya ketika ditemui di Malakat Mall hari ini.

Gilap potensi anak melalui pengucapan awam.

Mengenai sesi pengucapan awam itu, Musyawawee berkata, setiap peserta diberikan masa selama lima minit untuk bercerita mengenai diri mereka atau apa sahaja topik yang mahu diketengahkan. 

Pengasas Bersama AHM Speaking Academy, Aishah Suhaimi berkata, akademi yang beroperasi sejak lebih setahun lalu di Kajang dan Shah Alam, Selangor itu memberi tumpuan kepada pembinaan keyakinan diri kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.  

Aishah berkata, kebolehan berkomunikasi di khalayak umum merupakan kemahiran yang memberikan banyak kelebihan terutama kanak-kanak yang dapat membantu mereka untuk menonjol dalam persekitaran khususnya di sekolah.

“Alhamdulillah modul pembelajaran kami telah berjaya melahirkan kanak-kanak yang lebih berketrampilan,’’ katanya.

Majlis graduasi diakhiri dengan penyampaian trofi dan sijil dan anugerah khas kepada pelajar yang mempamerkan pengucapan awam paling menarik.

Maklumat lanjut mengenai AHM Speaking Academy boleh diperolehi dari laman Facebook: ahmspeakingacademy

Bimbingan dalam program pengucapan awam sejak usia muda mampu membentuk keperibadian insan yang lebih berkebolehan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here