Hasil laut di Johor selamat dimakan

0
242

CYBERJAYA- Jabatan Perikanan Johor menafikan pihaknya pernah melarang orang awam daripada untuk memakan hasil laut seperti ikan dan kerang-kerangan yang didapati daripada perairan negeri tersebut. 

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, ia berlaku susulan kekeliruan membabitkan satu notis dikeluarkan jabatan itu berkaitan kemunculan Ledakan Alga Berbahaya (HAB) di perairan Selat Tebrau. 

“Pejabat Perikanan Negeri Johor telah memaklumkan kehadiran HAB daripada spesies Alexandrium Minutum di Selat Tebrau melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi pada 30 Ogos lalu. 

“Ekoran daripada itu, masyarakat umum mula panik dan takut untuk membeli ikan dan kerang-kerangan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Noraishah, notis berkenaan dikeluarkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berjaga-jaga tentang kehadiran alga berbahaya tersebut. 

“HAB tersebut hanya berlaku di Selat Tebrau Timur sahaja iaitu melibatkan perairan Kuala Masai-Teluk Jawa dan bukannya di keseluruhan perairan negeri Johor,” katanya. 

Justeru itu katanya, ingin dimaklumkan bahawa notis tersebut tidak pernah melarang orang awam untuk memakan ikan dan kerang-kerangan di negeri Johor.

“Kami juga mendapati ketika ini tiada lagi berlaku kehadiran HAB di kawasan terlibat namun pemantauan berterusan akan terus dibuat. 

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu boleh hubungi Pejabat Perikanan Negeri Johor di talian 07-5104808,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here