Hentikan salam penumbuk cegah jangkitan

0
342

KUALA LUMPUR – Trend orang ramai melagakan genggaman penumbuk atau fist bump sebagai ganti kepada berjabat salam tetap mengundang risiko jangkitan Covid-19 dan wajar dielakkan.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan amalan itu kerana melibatkan sentuhan secara fizikal yang tetap berisiko kepada penularan wabak berkenaan.

“Jangan bersalaman dan bersentuhan termasuk lagakan anggota badan, hari ini saya lihat trend itu semakin menjadi amalan bahkan siap genyeh lagi, adakah kita mencuci tangan selepas itu.

“Sebaliknya KKM hanya syor hormat dengan meletak tangan di dada dan tunduk, jadi saya lihat trend yang sedang berlaku kini tidak baik dan saya sarankan orang ramai supaya berhati-hati,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Dr Noor Azmi menjawab soalan tambahan Senator Lim Pay Hen yang bertanyakan perancangan kerajaan menghadapi wabak Covid-19 yang dijangka saintis akan berlanjutan dua tahun lagi termasuk dari segi perjawatan pegawai perubatan.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, Malaysia terbukti menajdi negara yang berjaya mengawal dan mengurus wabak itu dengan baik sehingga diiktiraf dunia dan kerajaan akan melipat gandakan usaha itu.

“Kita akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa kerana kita masih belum mengenalinya, senjata yang kita ada ada ketika ini hanyalah pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, selain penjarakan fizikal,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata saringan pengesanan Covid-19 setakat ini hanya dilakukan terhadap individu bergejala serta berisko tinggi dan buat masa ini tiada cadangan untuk memberikan perkhidmatan itu secara berkala dan percuma kepada guru sekolah.

“Kerajaan telah bangunkan prosedur operasi standard (SOP) dalam pelbagai subsektor termasuk sektor pendidikan, justeru pematuhan pada SOP ini adalah penting bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang bertanyakan sama ada kerajaan bersedia memberikan perkhidmatan ujian percuma dan berkala kepada guru sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here