
CYBERJAYA – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semalam melancarkan Koleksi Khas Ketamadunan Islam Perpustakaan IKIM yang diperoleh menerusi satu geran khas kerajaan pada 2008.
Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid itu turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; dan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Azizan Baharuddin.

Koleksi khas ini mengandungi 8,001 jilid buku dan jurnal ilmiah berkenaan Ketamadunan Islam, termasuk bahan dari abad ke-17, 18, 19 dan awal abad ke-20.
“IKIM amat berterima kasih kepada Kerajan Malaysia, terutamanya Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan Ketua Pengarah IIM yang ketiga, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas di atas usaha mereka dalam mendapatkan Koleksi Khas ini,” kata Ahmad Sarji dalam ucapan perasmian beliau, semalam.
Kesemua bahan dalam koleksi ini merupakan koleksi peribadi ilmuwan akademik dan pengkaji Ketamadunan Islam yang berada di Barat.
Ahmad Sarji turut mengumumkan IKIM sedang berbincang dengan pihak Arkib Negara mengenai cara dan kaedah mengurus koleksi tersebut, termasuk pemulihan salinan yang rosak dan proses pendigitalan bagi memastikan aset negara yang tidak ternilai itu dipelihara untuk kesejahteraan.