Individu pulang dari Sabah wajib jalani ujian saringan Covid-19 di pintu masuk

0
172
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Bermula esok semua individu yang pulang dari Sabah wajib menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di pintu masuk domestik dan antarabangsa berikutan peningkatan mendadak kes wabak itu di Semenanjung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu diambil selepas mengambil kira situasi semasa selepas empat daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon merah dan berlakunya peningkatan kes.

“Bermula esok sehingga 10 Oktober ini, aktiviti saringan akan dijalankan kepada semua individu yang baru tiba dari Sabah di semua pintu masuk.

“Mereka diwajibkan memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di pintu masuk domestik dan antarabangsa.

“Menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan COVID-19 sejurus tiba di pintu masuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, individu terbabit juga dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dan diberi surat HSO serta dipakaikan gelang kuarantin.

Katanya, tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperolehi.

“Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19.

“Sekiranya terdapati individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut; dan

“Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan saringan ke atas individu sama ada warganegara atau bukan warganegara yang pulang dari Sabah dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here