
PUTRAJAYA – Industri perhotelan di Kedah dan Perlis ketika ini terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 kembali melanda sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata, walaupun PKPD dilaksanakan di beberala kawasan di Kota Setar namun ia turut memberi impak kepada syarikat perhotelan di Langkawi.
Beliau berkata, ada diantara hotel-hotel di kawasan ini hanya mampu mencapai peratusan penghuni sekitar sembilan peratus sahaja selepas berlaku pembatalan tempahan saat akhir oleh pelanggan.
“Disebabkan PKPD banyak dilaksanakan di kawasan Kota Setar ia sebenarnya turut memberi impak kepada industri perhotelan di Langkawi. Ini kerana jeti di Kuala Kedah dan tol untuk memasuki Kedah mula ditutup.
“Berdasarkan statistik, peratusan tempahan di hotel semakin membimbangkan, peratusan turun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi iaitu sekitar 25 hingga 28 peratus dan kini ada juga diantara hotel hanya capai peratusan satu angka sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan antara pengusaha hotel Kedah dan Perlis bersama wakil-wakil agensi kerajaan di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Eugene berkata, pihaknya membuat pelbagai perancangan serta promosi untuk menaikkan kembali industri perhotelan di kawasan yang terjejas.
“Antaranya dengan bekerjasama dengan pihak kementerian serta menurunkan kadar harga bilik di hotel bertaraf lima bintang.
“Kita bukan mahu ‘membunuh’ industri perhotelan bertaraf tiga bintang, cuma kita mahu memberi pengalaman kepada rakyat tempatan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang.
“Sebab mungkin ada diantara mereka yang sebelum ini berfikir dua kali untuk membayar RM800 bagi setiap penginapan di hotel lima bintang namun, dengan kadar rendah yang mampu milik ditawarkan kini sudah tentu akan menarik perhatian pengunjung,” katanya.
Bagaimanapun katanya, itu hanyalah perancangan jangka pendek untuk tingkatkan kembali industri perhotelan dan berkemungkinan ia sehingga hujung Oktober ini sahaja. -MT