Jangan bagi muka pada yang ceroboh tanah, ambil tindakan segera

0
535
Gambar hiasan

PELIK tapi benar, selepas 50 tahun tanah diceroboh baru ada yang tersedar dan hendak bertindak. Sebelum-sebelum ini entah apa yang dibuat mereka.

Bagi yang tidak mengikuti hal ehwal semasa mungkin menjangka pencerobohan ini berlaku di luar negara atau di negara Wakanda.

Tapi hakikatnya inilah yang berlaku di sebuah tempat dalam Malaysia. Selepas hampir setengah abad baru perasan tanah diceroboh dan diusahakan oleh orang lain.

Di manakah silapnya selepas lebih 50 tahun baru tersedar? Tak mungkin kerajaan negeri tidak menyedarinya. Tak mungkin pejabat tanah tidak tahu. Tak mungkin juga wakil rakyat setempat tidak diberitahu dan tak mungkin juga penduduk setempat tak cakna.

Isu ceroboh tanah bukan benda boleh buat main-main, bayangkan tanah yang bergeran pun boleh bergaduh adik beradik sampai ada yang hilang nyawa, inikan pula tanah yang diceroboh berpuluh-puluh tahun.

Sudah pasti tidak mudah untuk mengusir mereka. Payahnya sudah pasti seperti hendak mengusir jin yang sudah beranak pinak dalam rumah yang diceroboh mereka tatkala kediaman tersebut ditinggalkan.

Tapi ini bukan masa untuk toleh ke belakang semula, isu pencerobohan tanah perlu ditangani segera kalau tidak, pasti akan ada yang persoalkan sistem perundangan negara yang berbeza-beza mengikut orang tertentu.

Pasti akan ada yang mengungkit mengapa si A boleh tapi si B tak boleh. Itu belum lagi ada yang beranggapan agensi itu dan ini terlibat dalam rasuah sehingga sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga apabila berlaku kemungkaran depan mata.

Lebih membimbangkan isu ceroboh tanah kini dijadikan isu perkauman dan dijadikan modal politik parti-parti tertentu.

Masing-masing nak buat himpunan untuk menjuarai isu. Kalau tak dikawal dibimbangi berlaku perkara yang tak diingini.

Pihak berkenaan tolonglah ambil tindakan segera tanpa memilih sesiapa pun, kalau sudah terang-terangan salah menceroboh kenapa perlu dipertahankan lagi?

Jangan akhirnya ‘kebodohan’ kita sebelum ini dijadikan bahan ejekan dan sindirian rakyat yang kini semakin cerdik dan tak kisah untuk ‘troll’ mana-mana pemimpin yang kurang cerdik sampai tanah tergadai pun masih tak sedar-sedar lagi. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here