Janji PRN Sabah ditunaikan segera – Perdana Menteri

0
336
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang muncul dalam siaran langsung menerusi Fb Live miliknya hari ini

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan segala janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan ditunaikan dengan segera.

Perdana Menteri berkata, beliau juga akan memberikan komitmen bahawa kerajaan negeri yang dibentuk bakal mendapat sokongan padu daripada kerajaan persekutuan.

“Saya bagi komitmen bersungguh-sungguh bahawa kerajaan negeri yang akan dibentuk bakal mendapat sokongan padu daripada kerajaan persekutuan yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri.

“Dan apa yang saya nyatakan di Sabah sepanjang kempen akan kita tunaikan dan laksanakan seberapa segera,” katanya dalam siaran langsung Fb Live menerusi laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Dalam PRN tersebut Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan baharu itu juga akan bersama-sama rakyat Sabah bagi menjadikan negeri di bawah bayu itu cemerlang dan mencapai kemajuan yang lebih besar pada masa akan datang.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang menang dalam PRN tersebut dan berharap mereka dapat memikul tugas itu dengan sebaiknya.

“Saya juga hendak mengambil kesempatan dengan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pengundi di Sabah yang mengundi parti-parti di bawah GRS.

“Pada masa sama, saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja bersungguh-sungguh sewaktu kempen,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here