Kilang sebabkan gangguan air di Lembah Klang diarahkan henti operasi

0
1376
Kilang selenggara jentera yang menyebabkan pencemaran air di Lembah Klang diarahkan hentikan operasi

CYBERJAYA – Sebuah kilang selenggara jentera di Rawang, Selangor diarahkan menghentikan operasi serta merta pada hari ini berikutan menjadi punca kepada isu pencemaran air di Sungai Selangor.

Menurut Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu kenyataan hari ini, hasil siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihaknya mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.

Katanya, selain itu turut ditemui ialah bau seakan-akan pelarut dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air 1.2 juta pemegang akaun.

“Notis penutupan ini dibuat selaras dengan Seksyen 3 Undang-undang Kecil (UKK) Tred Perniagaan dan Perindustrian MPS,” katanya.

Sejak semalam, kira-kira 1.2 juta pemegang akaun terputus bekalan air berikutan berlaku pencemaran air di Sungai Selangor fasa satu hingga tiga dan Rantau Panjang.

Sementara itu, menurut MPS, pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan dilakukan bersama LUAS dan agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here