KKM sokong cadangan dekriminilasi cubaan bunuh diri

0
242
DR. ADHAM BABA

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyatakan sokongan terhadap kajian mendekriminilasi cubaan bunuh diri yang dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Menterinya, Datuk Sri Dr. Adham Baba berkata, usaha ini merupakan salah satu langkah untuk membuka peluang kepada pesakit yang mempunyai masalah kemurungan atau tingkah laku bunuh diri untuk tampil mendapatkan rawatan dan mendapatkan pemulihan tanpa sebarang rasa stigma.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada 10 September setiap tahun.

“Stigma terhadap kesihatan mental dan penyakit mental harus dihapuskan.

“Masyarakat seharusnya tidak menghukum dan lebih terbuka membicarakan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan tidak menganggapnya sebagai kes-kes terpencil,” kata Dr. Adham dalam kenyataan tersebut.

Beliau menambah, individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu dibantu untuk mendapatkan rawatan profesional atau menghubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada.

Data KKM menunjukkan, dari Januari hingga Jun 2020, terdapat 465 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan, dengan kesemuanya menerima rawatan di hospital.

Jumlah ini adalah kurang sebanyak 210 kes berbanding tempoh yang sama pada 2019 iaitu sebanyak 675 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here