
CYBERJAYA – Jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 melibatkan kluster Benteng terus mencatatkan peningkatan apabila 22 kes dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu lapan orang merupakan warganegara manakala bakinya bukan warganegara.
“Selain itu, di Sabah terdapat empat kes baharu melibatkan saringan warga emas di klinik kesihatan dan dua kes saringan di pusat kuarantin.
“Pada masa sama, dilaporkan satu kes saringan melibatkan petugas kesihatan, satu kes saringan orang kena tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat dan satu kes Infuenza-like illness (ILI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, secara keseluruhan terdapat 47 kes baharu dilaporkan hari ini di seluruh negara.
Katanya, dua kes merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua orang bukan warganegara.
“Daripada 45 kes penularan di dalam negara, 28 kes adalah warganegara Malaysia manakala 17 kes adalah bukan warganegara,” ujarnya.-MT