
CYBERJAYA – Kumpulan doktor di Korea Selatan bersetuju menamatkan mogok dua minggu mereka, setelah berjaya mencapai kata sepakat dengan pihak kerajaan dalam satu dialog malam tadi.
Kata Reuters yang memetik kenyataan Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun berkata, persetujuan tersebut dicapai dengan pihak Persatuan Perubatan Korea yang mewakili para doktor tersebut.
Mogok yang berlangsung sejak 21 Ogos lalu itu disertai oleh kira-kira 16,000 doktor pelatih dan doktor residen yang membantah cadangan kerajaan yang mahu mereformasi sistem penjagaan kesihatan di negara tersebut.
Pihak kerajaan mahukan reformasi tersebut bagi menangani sebarang krisis kesihatan yang timbul, sebagai contoh pandemik Covid-19, dengan lebih baik.
Antara cadangan yang diutarakan termasuk pembinaan lebih banyak pusat latihan baharu, sekaligus menambah bilangan doktor terlatih.
Namun, cadangan tersebut dibantah kerana tidak melibatkan penambahbaikan infrastruktur kesihatan dan keadaan bekerja di kawasan luar bandar.