Kes positif Covid-19 di lima pusat beli belah popular Lembah Klang

0
717
Kerja-kerja nyah kuman dilakukan di pusat beli-belah Nu Sentral, Kuala Lumpur.

CYBERJAYA – Sekurang-kurangnya lima kes positif Covid-19 dikesan di beberapa pusat beli-belah popular sekitar Lembah Klang membabitkan kakitangan dan kontak rapat kakitangan dalam tempoh seminggu lalu.

Pengesanan kes yang tular dalam media sosial sejak semalam itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi keseluruhan pusat beli-belah berkenaan sebaliknya hanya membabitkan premis terlibat. 

Di Suria KLCC, satu kes positif dikesan di gimnasium eksklusif, Babel melibatkan salah seorang ahlinya pada 25 September lalu.

Kes dikatakan telah datang sebanyak empat kali ke gimnasium berkenaan selepas melakukan beberapa perjalanan ke zon berisiko tinggi dan diuji positif Covid-19 pada 23 September.

Di Sunway Piramid, seorang kakitangan di sebuah premis disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.

Kerja-kerja nyah kuman dilakukan di pusat beli-belah Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Sunway Pyramid dalam kenyataannya semalam berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit dan diarahkan menjalani proses saringan dan kuarantin.

“Kami telah bekerjasama dengan penyewa yang terlibat untuk menyelaraskan secara menyeluruh kerja-kerja nyah kuman dan menangani masalah ini dengan proaktif,’’ katanya.

Sementara itu, pengurusan pusat beli belah NU Sentral di Kuala Lumpur turut mengesahkan seorang kakitangannya positif Covid-19 pada Sabtu.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial pada Ahad, ia turut memaklumkan bahawa KKM telah melakukan pengesanan kontak rapat termasuk kakitangan pengurusan yang sudah menjalani ujian Covid-19.

“Ujian pertama menunjukkan kesemua mereka negatif, tetapi semua kakitangan telah diarahkan menjalani kuarantin 14 hari,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, proses disinfeksi segera dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Di The Linc KL, ibu bapa kepada seorang peserta di pusat jagaan kanak-kanak di pusat membeli-belah berkenaan disahkan positif Covid-19.

Kanak-kanak tersebut telah menghadiri program setengah hari di Trinity Kids pada 17 Sept.

Sementara itu pada 25 September, pihak pengurusan KL Gateway Mall memaklumkan terdapat kes Covid-19 yang disyaki berlaku di Menara Suezcap 1.

Walaupun kejadian itu tidak berlaku di pusat membeli-belah itu sendiri, bangunan menara pejabat tersebut dihubungkan dengan pusat beli-belah berkenaan.

Dalam kemas kini semalam, pihak pengurusan mengatakan pekerja di Menara Suezcap 1 yang bersentuhan dengan pesakit Covid-19 yang kembali dari Sabah, disahkan negatif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here