
RAUDHAH CITY – Suasana di pusat beli belah BMF, Malakat Mall hari ini meriah dengan program Bangsa Bertanjak yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Program yang bermula sejak pukul 10 pagi itu dimulakan dengan ‘chant’ lagu patriotik yang diketuai oleh capo atau ketua Ultras Malaya, Mohd. Ridzuan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lekir.
Kira-kira 100 peserta yang turut sama berarak mengelilingi pusat beli belah itu, segak berpakaian pahlawan Melayu dan bertanjak sempena dengan tema program itu.
Dalam pada itu, menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, program itu diadakan bagi meraikan acara Tanah Melayu bertanjak dan untuk mengingati asal usul anak Melayu yang merupakan tuan punya bumi bertuah ini.

“Walaupun kita daripada pelbagai suku, sama ada Banjar, Jawa, Minang, Kerinchi, Mamak atau apa jua asalkan kita bertutur bahasa Melayu, mengagungkan tulisan Jawi, menjunjung al-Quran, menganut agama Islam dan menyembah Allah yang esa, kita adalah Melayu bangsa yang agung.
“Dalam diri kita masih mengalir darah panglima dan pahlawan, kita adalah cucu cicit Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu,” katanya yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil hari ini.

Beliau berkata, sebagai perwaris bumi bertuah ini, semua pihak khususnya bangsa Melayu digesa menjaga dan mempertahankan negara hingga ke titisan darah terakhir.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua bangsa Melayu supaya bangkit dan rapatkan saf untuk bersama-sama berjuang bagi menebus kembali apa yang telah hilang.
Sementara itu, Coach Fadzil turut mengumumkan hari Sabtu minggu terakhir pada setiap bulan merupakan Hari Bertanjak untuk Malakat Mall.-MT