
RAUDHAH CITY – Idea untuk mewujudkan pusat beli belah BMF yang pertama di Malaysia, Malakat Mall tercetus hasil daripada penganjuran program Ayuh Bangkit yang diadakan pada tahun lalu yang mendapati kuasa ekonomi orang Melayu semakin teruk meskipun memiliki produk hebat dan berinovasi.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, punca utama yang menyebabkan ekonomi Melayu semakin teruk ialah tiadanya akses ke pasaran untuk memasarkan produk usahawan Muslim.
“Apabila saya duduk dengan usahawan dalam program tersebut, saya mendapati kita memiliki produk yang cukup hebat dan tiada masalah dari segi inovasi.
“Masalah kita sekarang ialah tiadanya market place atau akses ke pasaran, dan yang lebih pelik ini negara dan tanah kita tapi apabila hendak berniaga, kita tidak memiliki pasar yang sesuai.
“Kalau ada pun, usahawan perlu membayar pelbagai jenis yuran, jadi bagaimana mereka hendak berniaga,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Malakat Mall di Cyberjaya di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, nama Malakat pula diambil daripada istilah pedagang Arab yang merujuk kepada Melaka pada zaman kegemilangannya dahulu sebagai pusat himpunan segala pedagang sama ada dari Arab, India mahupun China.

“Kita mahu kembalikan semula kehebatan orang Melayu seperti zaman dahulu sekiranya kita tahu menggunakan kekuatan yang dimiliki kita.
“Kekuatan kita sekarang ialah sebagai pengguna sendiri. Idea penubuhan Malakat Mall tidak susah macam nak bina roket sains untuk ke angkasa sebab kita duduk di tanah sahaja.
“Idea kita ialah jual antara kita dan beli juga antara kita,” katanya.-MT