Malakat Mall tidak musuhi perniagaan bukan Islam tapi mahu rapatkan jurang ekonomi semua kaum

0
151
Malakat Mall

RAUDHAH CITY – Kewujudan pusat beli belah BMF, Malakat Mall bukan bertujuan untuk mensabotaj atau memboikot perniagaan milik kaum tertentu dalam negara tetapi sebagai usaha dalam meningkatkan ekonomi umat Islam supaya jurang ekonomi dapat dirapatkan.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, ini kerana untuk memastikan negara berjaya, umat Islam dan bukan Islam perlu bersama-sama dalam merapatkan jurang ekonomi.

“Malakat Mall bukan hanya untuk orang Islam tetapi untuk bukan Islam juga. Untuk memastikan negara kita berjaya, Muslim dan bukan Muslim kena rapatkan jurang ekonomi.

“Saya sendiri dibesarkan di Petaling Jaya yang mana kita tinggal dengan semua kaum sama ada Melayu, Cina dan India, tetapi sekarang saya tidak tahu kenapa kita semua bergaduh?

“Justeru, gerakan ini kita buat untuk merapatkan jurang berkenaan yang mana akhirnya penyatuan bangsa Malaysia akan dapat tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Malakat Mall di Cyberjaya di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mohd. Fadzil Hashim

Mengulas lanjut, katanya, meskipun negara sudah merdeka sejak 63 tahun lalu, lebih RM60 bilion nilai sektor peruncitan dikuasai oleh syarikat asing.

“Keuntungan ini dimiliki oleh syarikat asing, kita tiada masalah degan kaum Cina kerana kita ialah negara majmuk tapi sayangnya kita tak guna kuasa di tangan kita.

“Formula yang kita hendak bawa terutamanya pada wakil koperasi yang hadir hari ini ialah menggunakan kuasa yang ada pada tangan kita iaitu di ‘mall’ ini.

“Ini kerana gerakan koperasi yang ada sudah berjaya mewujudkan enam juta ahli dan aset bernilai lebih RM120 bilion dan ada dana berbilion ringgit yang tidak digunakan.

“Kita akhirnya tinggalkan begitu sahaja peluang yang ada dan benarkan syarikat asing kuasai ekonomi kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Fadzil mengajak supaya semua ahli koperasi bersama-sama untuk bersatu di bawah satu payung iaitu menerusi Koperasi Pembangunan Islam Malaysia (KoPPIM) yang menjadi platform utama untuk menggerakkan Malakat Mall.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here