Maritim Malaysia kesan penyeludupan dadah guna pelampung

0
261

JOHOR BAHRU – Maritim Negeri Johor (MNJ) mengesan taktik penyeludupan dadah jenis methamphetamine atau syabu menggunakan pelampung yang diikat pada boya di perairan Tanjung Piai dekat sini.

Kegiatan itu dikesan pasukan bot peronda MNJ kira-kira pukul 3.10 pagi tadi ini yang menemui dua pelampung mengandungi dadah jenis berkenaan kira-kira 1.9 batu nautika barat daya Tanjung Piai, Johor.

MNJ dalam kenyataannya di laman Facebook berkata,
hasil maklumat risikan, pemeriksaan Op Benteng Laut itu menemui dua pelampung berwarna putih berukuran 35.56 sentimeter terikat pada boya.

“Apabila pelampung tersebut diambil dan diperiksa, didapati terdapat empat bungkus teh Cina seberat lebih kurang 4.10 kilogram dengan purata berat 1.03 kilogram bagi setiap bungkusan.

“Empat bungkusan teh Cina tersebut mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu,” menurut kenyataan itu.

Taktik itu dipercayai menjadi taktik baharu penyeludupan dadah melibatkan negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah berkenaan dianggar bernilai RM 225,000 dengan nilai pasaran semasa di negara ini lebih kurang RM55,000 bagi setiap kilogram,” katanya.

MNJ akan melakukan siasatan bagi menjejak pihak atau penjenayah yang terlibat dalam pengedaran dadah ini dan memastikan dalang jenayah rentas sempadan itu dikenakan tindakan keras.

“Maritim Malaysia bersama-sama agensi penguat kuasa lain serius dan bersiap siaga untuk membanteras segala bentuk jenayah rentas sempadan selaras dengan objektif kawalan sempadan menerusi Op Benteng Laut bagi mengekang kemasukan Covid-19 melalui jalan laut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here