Maritim Malaysia lupus dadah RM29 juta

0
271

SEREMBAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hari ini melupuskan 378 bungkus dadah jenis metaphetamine seberat 387.47 kilogram yang dirampas di Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis pada 23 Mei 2018.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pelupusan kesemua dadah yang telah selesai proses mahkamah itu adalah hasil penemuan lapan beg berisi dadah yang terapung pada jarak 1.2 batu nautika dari pantai Kuala Perlis, tak jauh dari sempadan Malaysia-Thailand.

“Beg tersebut dipercayai dibuang penyeludup sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang sedang melakukan rondaan rutin dan mereka memecut laju ke Thailand,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelupusan dadah di Pusat Kualiti Alam di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, pelupusan dadah berkenaan dilakukan menerusi kaedah musnah dan bakar selaras dengan peraturan di bawah Pekeliling Perbendaharaan (PP) Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan Am 2.7 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 17 kes tangkapan direkodkan Maritim bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, membabitkan nilai RM14.85 juta.

Katanya daripada jumlah itu, enam kes direkodkan di Kedah, Sabah (lima), Johor (tiga) dan Pahang dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Perak.

“Tangkapan dan rampasan terbesar setakat ini melibatkan dadah pelbagai jenis seberat 113 kilogram dengan anggaran nilai RM7.2 juta melalui Op Benteng di kawasan pantai Port Dickson, 18 Mei lepas,” katanya.

Aminuddin berkata, pihaknya turut mengesan, lebih 40 titik panas di seluruh negara, yang dijadikan laluan aktiviti penyeludupan dadah dan rokok serta penyeludupan pendatang tanpa izin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here