MB Selangor sumbang RM10,00 kepada tabung rakyat Sabah pulang mengundi

0
221

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyalurkan RM10,000 daripada wang peribadi kepada Persatuan Kasih Mahasiswa Malaysia bagi menampung kos membawa pulang rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia pulang mengundi Sabtu ini.

Beliau selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor berkata, sumbangan yang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 30,000 pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 itu adalah sebagai sokongan kepada amalan demokrasi.

“Sebagai tanda solidariti kepada pengundi Sabah, saya menyokong kempen Pulang Mengundi Sabah dan bersetuju memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10,000.

“Ia bagi membawa pulang rakyat Sabah yang berada di Semenanjung supaya mereka dapat mengundi pada PRN Sabah Sabtu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, beliau dan pimpinan PKR Selangor menggesa orang ramai menyumbang melalui akaun @PulangMengundiSabah di Facebook serta @PulangMengundi di Twitter.

Tambahnya, PKR Selangor komited menyuburkan amalan demokrasi di negara ini dan memperkukuhkan semangat setiakawan rakyat berbilang kaum berteraskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, pengundian awal PRN Sabah bermula esok melibatkan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka yang akan membuang undi di 55 pusat mengundi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here