
CYBERJAYA – Sebuah kenderaan yang membawa barang kemas untuk urusan jual beli menjadi mangsa samun bersenjata dalam satu kejadian di Lebuhraya Besraya, di ibu negara semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected], dalam kejadian itu
seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas cermin kenderaan dinaiki mereka dipecahkan tiga lelaki bersenjatakan parang.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi sebelum dihalang dua pacuan empat roda pada 3.35 petang.
“Tiga lelaki yang bersenjatakan parang menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cermin kenderaan itu sebelum menarik jurujual berkenaan serta rakannya keluar dari kenderaan terbabit.
“Suspek kemudian terus melarikan kereta mangsa bersama barang kemas dan wang tunai di dalam kenderaan itu. Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat terkena serpihan cermin dipecahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu video berdurasi lapan saat tular yang menunjukkan kejadian samun itu tular dalam media sosial hari ini
Dalam rakaman itu, kelihatan beberapa lelaki memakai topeng ski dilihat menarik seorang lelaki dipercayai mangsa keluar dari kenderaan itu sambil mengarahkan mangsa itu keluar.
Dalam pada itu, Zairulnizam berkata, menurut keterangan mangsa, semua suspek itu berbadan besar memakai baju lengan panjang dan memakai topeng ski.
“Difahamkan mangsa mempunyai urusan jual emas kepada beberapa kedai emas di Kuala Lumpur.
“Hasil maklumat awal, kereta mangsa ditemui di kawasan Damansara, Petaling Jaya, Selangor dalam keadaan terbakar,” katanya.
Beliau berkata, usaha memburu suspek yang terbabit dalam kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya.