Patah tulang belakang selepas kabel putus ketika lakukan rope swing

0
1331
Siti Halijah berdiri di atas pelantar sebelum tragedi itu berlaku. Kredit gambar Facebook Mohamad Yakub

CYBERJAYA – Malang tidak berbau menimpa seorang wanita apabila terjatuh sewaktu melakukan aktiviti terjunan popular ‘rope swing’ di Kuala Kubu Bharu, Selangor, Ahad lalu.

Akibat kemalangan itu, wanita yang dikenali sebagai Siti Halijah Abd Rahim, 33, mengalami kecederaan serius dengan patah tulang belakang.

Memetik laporan portal berita mStar, adik wanita malang tersebut yang dikenali sebagai Mohamad Yakub Abd Rahim berkata, ketika kejadian, kakaknya baru sahaja selesai membuat terjunan dan sedang tergantung pada ketinggian kira-kira 10 meter sebelum berlaku kesilapan teknikal pada kabel yang telah menyebabkan dia jatuh dan terhempas ke dalam sungai.

Katanya, kejadian berlaku sangat pantas dan Yakub sempat mendengar kakaknya berkata “best gila”! sebelum dia terjatuh.

Yakub berkata, kakaknya yang berada di dalam air sempat diselamatkan oleh petugas water rafting yang berada berdekatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Setiba di hospital, Siti Halijah mendapat rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang dan telah menjalani pembedahan akibat patah tulang belakang semalam.

Keadaan terkini Siti Halijah. Kredit gambar Facebook Mohamad Yakub

Menurut Yakub lagi, ketika kakaknya diselamatkan setelah terjatuh, pada awalnya keadaannya sangat lemah dan tidak sedarkan diri.

“Setelah petugas cuba mengepam dada beberapa kali Siti Halijah mula sedar dan cuma bertanya kita ada kat mana?”

“Saya cuma membalas kita jalan-jalan je,” ceritanya.

Bercerita lebih lanjut, Yakub berkata, kakaknya juga mendakwa tidak merasa di bahagian kakinya.

Sementara itu, Yakub berkata, mereka sekeluarga redha dengan kejadian yang berlaku dan tidak menunding jari kepada operator sukan lasak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here