Pegawai kanan polis ugut, hina anggota polis ketika berhibur di pusat hiburan ditahan

0
885
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Seorang pegawai kanan polis yang berlagak samseng dengan menghina dan cuba mengugut dua anggota kereta peronda polis (MPV) ketika melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan, di Kelana Jaya ditahan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pegawai kanan yang bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Selangor itu disyaki salah seorang pelanggan pusat hiburan itu.

Beliau berkata, pegawai tersebut telah membuat provokasi dengan cara menghina dan cuba mengugut anggota MPV yang menjalankan tugas.

“Dua anggota MPV itu telah menerima maklumat bahawa pusat hiburan itu masih beroperasi pada jam 2.50 pagi dan ketika pemeriksaan, lelaki itu telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan yang bertugas di Kontinjen Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pegawai polis itu kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 (1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Dalam pada itu, Nik Ezanee turut mengingatkan anggota polis dan agensi penguat kuasa supaya berdisiplin dan tidak mengganggu anggota menjalankan tugas.

“Tindakan disiplin dan undang-undang akan diambil tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya.

Sementara itu Nik Ezanee berkata, seramai 227 individu dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika serbuan berasingan di tiga buah premis hiburan di Kelana Jaya dan Damansara pada awal pagi tadi.

“Seorang lelaki warga asing yang disyaki sebagai penjaga premis dan empat lelaki warga asing turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan serta tiada lesen menjual minuman kertas selain mengambil pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here