Pembela gesa polis, SPRM ambil tindakan terhadap penceroboh tanah haram di Raub

0
246
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa supaya pihak polis mengambil tindakan yang tegas terhadap penceroboh tanah kerajaan di Raub, Pahang.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 dan lanjutan daripada laporan- laporan polis yang telah dibuat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Raub.

“Pada masa sama, Pembela juga menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Pihak kerajaan negeri juga dituntut untuk menuntut semua ganti rugi yang sepatutnya dibayar oleh penceroboh,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan yang diambil juga tidak seharusnya terhad di Raub tetapi perlu diambil juga di Pahang khususnya dan Malaysia amnya.

“Tidak terhad kepada kawasan pencerobohan di Raub, tetapi merangkumi semua bentuk pencerobohan yang telah dibuat oleh semua pihak di semua kawasan dalam negeri Pahang dan dalam negara.

“Pembela menuntut supaya tanah yang diceroboh hendaklah dijadikan tanah rezab Melayu dan semua pihak yang telah menceroboh hendaklah segera menghentikan pencerobohan dan memulangkan balik tanah tersebut kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Pembela turut menggesa supaya sebahagian daripada tanah yang dirampas diserahkan kepada pemohon veteran angkatan tentera yang telah dijanjikan untuk dianugerahkan sebidang tanah sebagaimana yang kerajaan janjikan di bawah Perintah Majlis Angkatan Tentera.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri perlu segera memberhentikan tindakan pengambilan semula tanah tetapi sebaliknya memberikan geran kepada penduduk seperti mana yang dijanjikan oleh pihak Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) dalam Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here