
REMBAU – Pemilik kereta Proton Saga yang membiarkan anaknya yang masih di bawah umur memandu kenderaan tersebut dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APK 1987).
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, tindakan itu diambil selepas tular satu rakaman video di media sosial yang menunjukkan seorang kanak-kanak sekolah rendah memandu kereta berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta serta kanak-kanak terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu memandu kereta berkenaan tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berlaku di Kampung Bongek, Rembau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam video berdurasi 53 saat bertajuk ‘Handa orang Rombau’ itu, kanak-kanak lelaki itu yang sedang memandu kereta berkenaan disapa oleh seorang lelaki dan bertanya dalam loghat Negeri Sembilan siapakah yang mengajar memandu kereta.
Kanak-kanak tersebut yang tidak menunjukkan reaksi bersalah memberitahu prakam video tersebut bahawa bapanya yang mengajarnya memandu kereta.
Sementara itu Anuar Bakri berkata, satu laporan polis turut dibuat dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Katanya, kes itu akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.
“Saya berharap agar masyarakat dapat terus membantu dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.-MT