Penduduk kecewa rumah di Subang Perantau dirobohkan

0
494

CYBERJAYA- Pemilik rumah yang dirobohkan di Desa Subang Perantau di Sungai Buloh kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang tetap merobohkan rumah kediaman mereka walaupun pelbagai rayuan telah dibuat.

Hari ini sebanyak 19 buah rumah di Desa Subang Perantau di Sungai Buloh itu dirobohkan oleh pihak berkuasa selepas kerajaan negeri Selangor memutuskan lot kediaman mereka terbabit dengan projek melencongkan Sungai Pelempas.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Subang Perantau, Basri Mustapha berkata, kerja-kerja merobohkan struktur rumah di atas 16 lot tanah berkenaan bermula pada pukul 7 pagi tadi.


Beliau berkata, permohonan secara berkumpulan untuk 105 lot tanah di kawasan berkenaan telah dibuat pada 1990 dan hanya 16 lot tanah yang belum diluluskan Geran Kediaman Kekal sehingga ke hari ini.


“Pada Februari 2018, kerajaan negeri mewartakan sempadan Sungai Pelempas, sedangkan kami membina kediaman di sini lebih 10 tahun sebelum itu, walaupun permohonan geran masih berstatus permohonan.

“Penduduk berasakan kerajaan negeri akan memberikan kelulusan geran dan sehingga kini masih menunggu kelulusan itu, namun tidak menyangka kerajaan negeri mengambil keputusan merobohkan kediaman untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Sepatutnya semasa kerajaan mewartakan perkara itu, mereka sudah mengambil kira kos pampasan untuk rumah-rumah yang perlu dirobohkan,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung hari ini.

Basri berkata, setakat ini penduduk yang kediamannya yang dirobohkan hanya diberikan pampasan di antara RM5,000 hingga RM15,000 dan ia jelas tidak memadai dengan kos dilaburkan membina kediaman di antara RM100,000 hingga RM300,000.

Sementara itu, Basri mempersoalkan mengapa lencongan sungai itu membabitkan lot tanah mereka, sedangkan masih ada ruang kosong di seberang sungai yang bersempadan dengan tanah milik Malaysia Airports Berhad (MAHB) yang lebih sesuai.

“Kediaman kami bukan setinggan, sebaliknya lot tanah dalam status permohonan dan sejak 2016, penduduk atas 16 lot ini diberikan notis kerja meroboh, namun kami masih berharap perkara itu dapat ditangguhkan.

“Sejak itu banyak kali rayuan dibuat termasuk kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar Selangor serta Kementerian Air, Tanah dah Sumber Asli tetapi tidak berhasil.

“Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Subang Perantau turut berusaha menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk mengupah juru ukur tanah dan membuat pelan cadangan lain yang lebih baik untuk projek melencongkan sungai berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu tidak diendahkan dan kerajaan negeri tetap dengan keputusan mereka merobohkan semua 19 kediaman yang berada di atas 16 lot tanah berkenaan.

Menurut laporan Berita Harian sehingga petang ini, sebanyak 17 kediaman selesai dirobohkan, manakala dua lagi pemilik rumah meminta perkara itu ditangguhkan dan diberikan tempoh sehingga 14 September ini untuk mengosongkan kediaman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here