Penganjur, penaja Hammock Fest 2020 berpuas hati dengan penganjuran program

0
296

CYBERJAYA – Pihak penganjur dan penaja Hammock Fest 2020 yang melabuhkan tirainya semalam, amat berpuas hati dengan penganjuran acara tersebut walaupun dianjurkan dalam suasana negara masih dibelenggu Covid-19.

Acara yang sudah masuk tahun keenam penganjuran ini, dianjurkan di Taman Ekorimba Lubuk Yu di Kuala Sentul, Pahang dan berjaya mengumpul kira-kira 60 penggiat dunia ‘outdoor’ yang memilih ‘hammock’ sebagai alatan utama perkhemahan mereka.

Selain berkumpul, para penggiat bidang ini turut dibekalkan dengan ilmu perhutanan menerusi bengkel yang dianjurkan oleh pihak penganjur.

“Saya amat berpuas hati dengan penganjuran pada tahun ini, walaupun suasana negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya amat menghargai kerjasama dan disiplin para peserta yang hadir dalam mematuhi PKPP dan arahan yang kami, pihak penganjur, telah tetapkan,” kata Pengarah Program, Laili Basir.

Kemuncak acara ini adalah pemasangan hammock setinggi 15 lapisan pada majlis perasmian penutup, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pegawai Daerah Maran, Sharuddin Jali.

Sementara itu, Tahan Sports yang menjadi penaja utama acara berkenaan, turut amat berpuas hati dengan penganjuran Hammock Fest kali ini.

“Alhamdulillah, kami diberi peluang untuk menaja acara pada tahun ini.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak dan peserta yang memberikan sokongan padu bagi menganjurkan acara ini,” kata Pengasas Tahan Sports, Mohd. Fuad Rahim ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Tahan Sports merupakan sebuah kedai menjual kelengkapan sukan dan barangan outdoor di Malakat Mall, Cyberjaya.

Selain barangan kelengkapan, Tahan Sports turut menyediakan perkhidmatan penganjuran acara lasak merangkumi kembara hutan dan gunung, mendaki dan lain-lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here