Kumpulan kayangan dari Sabah, sila ambil iktibar daripada kluster Sivagangga

0
268
Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap individu yang pulang dari Sabah

SEPERTI yang dijangka, berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Sabtu lalu membuka satu episod baharu pula.

Episod yang sudah dijangka ini ialah gelombang baharu Covid-19. Sebelum PRN DUN Sabah berakhir lagi, setiap hari boleh dikatakan kes Covid-19 yang dilaporkan mencecah tiga digit.

Dengan berakhirnya PRN DUN Sabah, kes jangkitan Covid-19 menjadi semakin serius apabila jangkitan yang pada asalnya hanya melibatkan kawasan di Sabah, kini sudah menular ke Semenanjung.

Dan hari ini sahaja sebanyak 17 kes tempatan melibatkan sembilan negeri dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi di Sabah.

Negeri yang sebelum ini berada zon hijau kini terpaksa bertungkus lumus melakukan ujian Covid-19 terhadap kontak rapat. Belum sempat petugas kesihatan menarik nafas, kini mereka terpaksa dikerahkan semula untuk menjadi benteng hadapan bagi melawan wabak ini.

Semuanya gara-gara kemelut politik dan perebutan kuasa yang akhirnya menyebabkan seluruh negara menanggung akibatnya.

Paling merisaukan apabila kerajaan tidak menguatkuasakan arahan kuarantin di pusat kuarantin bagi mereka yang balik dari Sabah dan hanya perlu menjalani kuarantin di rumah.

Mungkin kerajaan sudah lupa, punca kluster Sivagangga ialah daripada seorang tauke kedai nasi kandar yang ingkar arahan kuarantin di rumah dan masih keluar berniaga.

Natijahnya, virus daripada kluster Sivagangga ini telah menjadi mutasi dan mampu merebak dengan pantas berbanding virus yang dikesan ketika awal Mac lalu.

Jadi bayangkan jika ada antara individu yang pulang dari Sabah ini tidak menjalani kuarantin di rumah dan keluar berjalan-jalan, akhirnya apakah yang akan berlaku kepada kita semua?

Untuk kuatkuasakan sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), negara sudah tidak mampu menampung beban dari segi ekonomi.

Malah, banyak majikan yang terpaksa gulung tikar. Kalau situasi ini berterusan maka lingkuplah ekonomi negara.

Bagi yang baru pulang dari Sabah, usah berlagak seperti golongan kayangan. Duduk diam-diam di rumah dan jangan keluar ke mana-mana kerana anda berisiko untuk menjangkiti orang lain. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here