Portal SPRM: Kenapa masyarakat Cina tak faham bahasa kebangsaan?

0
1139
Portal SPRM dalam bahasa Mandarin yang mencetuskan kemarahan banyak pihak

CYBERJAYA – Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan portal dalam bahasa Mandarin menimbulkan persoalan sejauh mana masyarakat Cina dalam negara memahami bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaa.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, sepatutnya selepas lebih 60 tahun usia kemerdekaan negara, semua rakyat Malaysia fasih berbahasa kebangsaan, bukan setakat faham sahaja.

“Menurut SPRM, portal bahasa Mandarin ini dilancarkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Cina di Malaysia.

“Saya tidak pasti, apakah ini bermaksud ramai dari masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris?

“Jika benarlah perkara ini, cuba kita renung kembali. Di manakah silap kita dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia berteraskan identiti nasional selama ini?,” soalnya.

Aminuddin berkata, lebih membimbangkan apabila kerajaan pula yang perlu mengeluarkan dana untuk membangunkan kemudahan bagi memahami sesuatu dalam bahasa ibunda.

“Mungkin kita tidak perasan atau lupa, bahawa banyak lagi tempat yang memerlukan ‘terjemahan’.

“Contohnya di mahkamah, betapa ramainya rakyat Malaysia yang perlukan khidmat penterjemah dalam bahasa ibunda mereka untuk urusan-urusan mahkamah termasuk perbicaraan? Itu belum lagi papan-papan tanda di kawasan-kawasan tertentu yang dipenuhi dengan bahasa mandarin.

“Malah, sewaktu pilihanraya pun penuh dengan poster-poster kempen dalam bahasa mandarin jika kita pergi ke kawasan-kawasan majoriti cina. Lihat sahaja sewaktu Pilihanraya Negeri Sabah ini, tidak perlu ke sana pun. Pergi sahaja ke laman-laman Facebook parti-parti Cina bertanding,” ujarnya.

Sehubungan itu, Aminuddin menggesa supaya sekolah satu aliran diperjuangkan bagi mengatasi masalah yang sudah lama berlaku dalam negara itu.

“Bagi saya, antara masalah terbesar kita ialah sistem sekolah vernakular yang terlalu mengakar dan besar di negara kita sehingga ada segmen masyarakat tertentu yang tercicir dan terperangkap dengan ‘bubble’ mereka tersendiri.

“Kalau dari kecil pun tidak terdedah dengan bahasa kebangsaan dengan baik, tidak mustahil apabila besar nanti akan hadapi masalah memahami bahasa kebangsaan.

“Bukan setakat bahasa kebangsaan sahaja, mungkin ramai yang janggal dengan abjad tulisan rumi. Sebab itulah terjemahan bahasa inggeris pun ramai yang tidak faham sehingga perlukan terjemahan bahasa mandarin,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here