PRN Sabah: Pas tetap gerakan jentera meskipun tidak diberikan kawasan

0
165
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

CYBERJAYA – Pas akan tetap memberi sokongan jentera dan menggerakkan ahlinya bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah meskipun tidak diberikan kawasan untuk ditandingi.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, jentera itu akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat.

“Pas menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam PRN Sabah setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

“Dalam hal ini, Pas mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah, demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Hadi, Keutamaan Pas adalah persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka dalam masa terdekat ini.

Di samping itu, katanya, Pas juga komited untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, ketika Barisan Nasional dan PN mengumumkan nama calon untuk bertanding dalam PRN Sabah, wakil daripada parti itu langsung tidak diberikan kawasan untuk bertanding.

Keadaan tersebut menyebabkan terdapat ahli parti itu yang kecewa kerana tidak diberikan kawasan untuk bertanding meskipun merupakan salah sebuah parti yang mengasaskan PN dan membentuk kerjasama dengan MN.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here