
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) komited dalam meneruskan kesinambungan tanggungjawab sosial mereka menerusi Program Bicara ‘Sirih Pulang ke Gagang’ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Program bersifat pembinaan motivasi dalam kalangan pelajar sekolah ini, dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, LHDN, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah yang berkongsi pengalaman menempa nama sebagai anak Sabah pertama yang menjawat jawatan tertinggi dalam agensi berkenaan.

Kecemerlangan beliau tidak terhenti di situ sahaja, malah sepanjang dilantik sebagai peneraju utama sejak 12 Disember 2016, beliau juga berjaya memimpin LHDN mencatat sejarah membuat kutipan cukai langsung tertinggi pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM145.110 bilion dengan memecahkan rekod kutipan pada tahun 2018 (RM137.03 bilion).
Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Azizah Baba yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr. Mistirine Radin; dan Pengetua SMK Bandaraya, Rohani Ramlee.
Dalam sesi berkenaan, Dr. Sabin turut melontarkan pandangan mengenai keperluan untuk Malaysia melahirkan masyarakat yang mempunyai daya intelek dan kecerdasan emosi yang tinggi bagi persiapan mereka mengharungi cabaran akan datang yang pastinya lebih kompleks.
Selaku agensi kerajaan yang bertanggung jawab, LHDN amat komited dalam memastikan program seumpama ini diberikan perhatian dan dijayakan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berketerampilan.
Program sebegini juga merupakan satu platform bagi LHDN memainkan peranannya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya dalam kalangan warga pendidik dan pelajar tentang manfaat pembayaran cukai demi pembangunan ekonomi negara.-MT