Ramai setuju dengan pemilihan nama Jalan Palestin

0
361
Jalan Palestin di Kuala Lumpur

CYBERJAYA- Tiada apa yang perlu diperdebatkan dengan tindakan pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 di Kuala Lumpur kepada nama baharu iaitu Jalan Palestin.

Ini kerana, rata-rata masyarakat yang merupakan pengguna utama laluan berkenaan menyambut baik langkah berkenaan malah, ianya langsung tidak mengelirukan mana-mana pihak.

Cadangan mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Linda berkata, tiada isu berbangkit dengan pertukaran nama jalan berkenaan kerana ia hanya laluan yang pendek sahaja dan terbelakang.

Katanya, pemilihan nama Palestin juga adalah sesuatu yang baik kerana Malaysia merupakan sahabat seagama dengan negara berkenaan selain negara ini juga banyak membantu mereka.

“Saya berniaga di sini sudah lama, pertukaran nama jalan ini menyebabkan ada yang datang untuk melihat sendiri jalan mana yang ditukar nama. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah.

“Malah lebih baik kerana dapat menunjukkan hubungan akrab antara Malaysia dan Palestin. Ia juga tidak mengelirukan penggunakan jalan ini dan pastinya mereka tidak akan tertukar jalan,” katanya.

Pada Ahad lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Duta Besar Palestin secara rasmi merasmikan Jalan Palestin di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Langkah berkenaan menjamin dan memperluaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang bersaudara dan mengesahkan sokongan Malaysia dan rakyat Malaysia kepada Palestin serta rakyatnya.

Sementara itu, Rosli Ahmad berkata, beliau bersetuju dengan pemilihan nama Palestin itu kerana ia tidak menimbulkan isu-isu berbangkit mengenai nama jalan seperti mana ada berlaku sebelum ini.

“Saya percaya ramai yang setuju walaupun pemilihan nama ini tiada apa-apa sejarah untuk Malaysia. Tetapi, ia lebih kepada hubungan antara dua negara Islam,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga di tepi Jalan Palestin, Sarimah Abd. Rashid berkata, sejak nama jalan ditukar banyak kenderaan melalui jalan berkenaan.

“Ramai yag lalu jalan ini, mungkin mereka sengaja lalu untuk tengok papan tanda jalan. Ada juga tang berhenti untuk ambil gabar. Saya tengok mereka gembira sahaja.

“Bila mereka gembira, maknanya ramai yang setuju dengan nama Jalan Palestin ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here