Rebat cukai 15 peratus untuk hartanah di Johor

0
140
Pentadbiran Tanah Johor

CYBERJAYA- Semua pemilik hartanah di Johor bakal menikmati rebat cukai sebanyak 15 peratus bermula 1 Oktober ini.

Pejabat Tanah dan Galian Johor memaklumkan, peratusan rebat cukai berkenaan diputuskan mengikut tahun.

Katanya, perkiraan terkini ialah 15 peratus untuk 2020 manakala 10 peratus (2021) dan lima peratus (2022).

“Tempoh bayaran cukai tanah dilanjutkan hingga 14 Disember ini dan denda lewat cukai tanah semasa pula dikenakan bermula 15 Disember.

“Bagi pemilik yang tidak menjelaskan cukai tanah semasa tahun ini iaitu bermula 15 Disember, cukai tanah tersebut akan dikira sebagai tunggakan dan denda lewat dikenakan.

“Tiada pemberian rebat 15 peratus akan diberikan kepada pembayar cukai tanah yang menjelaskan cukai tanah selepas 14 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, pembayar cukai tanah yang telah menjelaskan bayaran cukai 2020, lebihan akan dikreditkan ke tahun berikutnya. 

“Ini bermakna pada tahun 2021, rebat yang diterima adalah sebanyak 25 peratus.

“Bagi menikmati pemberian rebat pada 2021 dan 2022, semua pemilik tanah perlu menjelaskan cukai tanah tahun berkenaan sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Mei,” ujarnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini mengumumkan pemberian rebat kepada semua pemilik hartanah di Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here