Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang disebabkan peralihan monsun

0
441
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang berlaku akhir-akhir ini disebabkan peralihan monsun.

CYBERJAYA- Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada waktu petang dan awal malam dijangka bermula pada 24 September sehingga awal November ini berikutan fasa peralihan monsun. 

Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), dalam satu kenyataan hari ini, berkata, fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 18 Mei lalu.

Dalam tempoh itu katanya, langit biasanya cerah pada waktu pagi dan kawasan di rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai hala yang kondusif untuk pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang.

“Keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak,” kata kenyataan itu. 

Beliau berkata, ribut petir boleh menyumbang kepada jumlah hujan bulanan yang tinggi terutamanya di negeri pantai barat Semenanjung dan keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

Bagaimanapun katanya, taburan hujan di semua negeri dijangka berada pada paras purata sepanjang tempoh peralihan monsun ini. 

“Orang ramai disaran supaya mengelak daripada berada di kawasan lapang dan menjauhi struktur yang tidak kukuh serta tidak menyentuh objek besi, barang atau kabel elektrik semasa berlakunya ribut petir. 

“Maklumat dan ramalan cuaca terkini boleh diperoleh menerusi laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial, RakanMET dan hotline MET Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here