
CYBERJAYA – Malaysia bertegas tidak akan melayan sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Sabah tetap kekal milik Malaysia buat selama-lamanya.
“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina.
“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut.
“Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, sekiranya Malaysia membuka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas.
“Sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.
“Pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah,” tegasnya.
Shafie sebelum ini, menggesa kerajaan Persekutuan berunding secara ‘goverment to government’ dan memberi penjelasan kepada Filipina bahawa referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 menunjukkan rakyat Sabah memilih Malaysia.
Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.
Tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.-MT