Tan Sri Muhyiddin Yassin

KOTA KINABALU – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mempunyai dua pilihan untuk bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan negara sekiranya terbukti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki jumlah ahli Parlimen mencukupi untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Perdana Menteri berkata, sekiranya dititahkan untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong, beliau boleh memaklumkan mengenai perkembangan terkini itu dan bertindak mengosongkan kerusi Perdana Menteri dan jika baginda terima maka kerusi itu akan kosong dan diisi dengan ahli Parlimen lain.

“Perkara kedua, kalau saya fikirkan keadaan di negara sebegitu rupa, ini bukan bermaksud saya nak kekal sebagai Perdana Menteri tapi kalau ikut peruntukan yang ada dalam Perlembagaan, saya akan kata pada Agong, Tuanku, mengikut situasi semasa dan pada pandangan patik, patik nak syorkan untuk Parlimen ini dibubarkan.

“Kalau Agong berkenan untuk membubarkan, maka Parlimen Malayisa akan terbubar,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Tambunan, hari ini.

Menurut Muhyiddin, sekiranya Parlimen dibubarkan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson hanya akan menjadi Perdana Menteri menunggu sahaja.

Berikutan itu, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau masih menjadi Perdana Menteri yang sah mengikut Perlembagaan negara.

Kelmarin, Anwar mendakwa memiliki jumlah ahli Parlimen mencukupi untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Bagaimanapun, kenyataan beliau disanggah oleh Muhyiddin yang menegaskan bahawa beliau masih Perdana Menteri yang sah dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih stabil.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here