
CYBERJAYA- Landasan pemasaran produk kaum Melayu dan Bumiputera sudah ada di depan mata sekiranya impian Malakat Mall untuk membuka cawangan di seluruh negara tercapai kelak.
Itu keyakinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas mengadakan pertemuan dengan Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.
Wan Junaidi berkata, pertemuan buat kali pertama dengan Mohd. Fadzil pada Julai lalu telah membuka jalan kepada perancangan termasuk kepada pembangunan usahawan dan juga koperasi.

“Saya tahu mengenai Malakat Mall ini melepas melihat video ringkas bekas Setiausaha Akhbar saya iaitu ‘Cikgu Izzat’ yang mempromosikan perjuangan pusat beli belah berkenaan.
“Jadi, saya minta orang Malakat Mall datang berjumpa saya. Selepas perjumpaan itu, saya cukup yakin bahawa inilah orangnya…Insha-Allah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Malakat Mall semalam.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, pelbagai idea disampaikan oleh Mohd. Fadzil yang membuatkan beliau begitu teruja dan yakin bahawa perjuangan Malakat Mall boleh pergi jauh.
“Selepas melihat video dan berjumpa Mohd. Fadzil, saya dapat bayangkan macam mana mahu jual produk koperasi dan usahawan mikro kepada umum, mungkin Allah nak tunjukkan ini caranya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau melihat sektor koperasi boleh memainkan peranan bagi meningkatkan taraf hidup golongan B40 kerana rata-rata ahli koperasi terdiri daripada golongan terbabit.
“Perjuangan Malakat Mall seiring dengan sektor koperasi. Di Malaysia, kita ada lebih 16,000 koperasi dengan kira-kira 70 peratus masih aktif bersama enam juta ahli.
“Ini (Malakat Mall) adalah landasan terbaik, koperasi secara keseluruhan ada aset sebanyak RM140 bilion. Jadi, tolong kaji perkara ini (kerjasama dengan Malakat Mall),” katanya.