Saya punyai harapan besar untuk Malakat Mall-Wan Junaidi

0
383

CYBERJAYA – Kementerian Pebangunan Usahawan dan Koperasi berharap Malakat Mall dapat menjadi platform untuk memasarkan produk-produk perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan mikro.


Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau mempunyai harapan yang sangat besar agar Malakat Mall dapat menjadi medan  menjual produk keluaran tempatan khususnya Melayu dan Bumiputera. 


Beliau berkata, hasrat Malakat Mall untuk membuka operasinya ke seluruh negara iaitu dengan sasaran 100 pusat beli belah seumpama itu menjelang akhir Disember ini wajar diberikan sokongan.


“Dalam masa yang sama, Malakat Mall ini bergerak seiringan dengan sektor koperasi yang menjadi tulang belakangnya. Ini cukup baik kerana ia memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi kedua-dua pihak.


“Peluang melalui Malakat Mall ini wajar digunakan sebaik mungkin, ekoran pandemik Covid-19 banyak kedai-kedai yang tutup. Jadi bila ada peluang untuk pasarkan produk, manfaatkan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Malakat Mall dan Majlis Penyerahan Bantuan Koperasi Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 malam tadi.


Menurut Wan Junaidi, sokongan dan bantuan koperasi amat diperlukan dalam membangunkan lagi Malakat Mall kerana sektor itu mempunyai dana dan aset begitu besar.


“Kadang-kadang, aset koperasi jarang digunakan dan jika guna pun hanya untuk dalaman sahaja. Jika digunakan untuk pelaburan kita boleh cakap ia daripada koperasi untuk koperasi dan mendatangkan hasil,” katanya.


Sementara itu katanya, beliau begitu teruja dan bangga dengan idea-idea Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim yang dilihat mampu menjadi penyelamat kepada usahawan kecil, usahawan mikro dan juga sektor koperasi.


“Saya bukan berniat untuk memperkecilkan agensi kerajaan yang lain dalam usaha memasarkan produk tempatan, dulu Bernas dan Fama cuba buat tetapi berdepan masalah kerana ditadbir oleh pegawai kerajaan.


“Mereka bukan ahli perniagaan, tetapi di sini (Mohd. Fadzil) ahli perniagaan, jadi dia tahu cara berniaga. berniaga kena buat oleh ahli perniagaan, pegawai kerajaan hanya beri arahan sahaja.


“Dalam soal pemasaran, jualan dan sebagainya mereka tidak pandai. Ada macam-macam struktur, di Malakat Mall skala besar dan mereka mampu uruskan dengan baik,” katanya.


Dalam pada itu katanya, beliau yakin jika Malakat Mall boleh membuka 100 lagi cawangan di seluruh negara ia akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbang keuntungan kepada koperasi.


“Kita berbelanja untuk. pembangunan ekonomi negara sendiri. Jika syarikat asing dalam pasar raya lain, mereka buka cawangan dan keuntungan dibawa bik ke negara asal dan tidak menyumbang kepada ekonomi tempatan.


“Di Malakat Mall tiada orang luar, semua produk kita. Macam-macam idea yang saya dengar dari Mohd. Fadzil dan saya ia akan menjadi kenyataan dan seterusnya menantu semua para usahawan tempatan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here