
CYBERJAYA – Kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membuka semula sempadan negara yang ditutup kepada warganegara asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak enam bulan lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kawalan sempadan negara akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin.
“Kawalan sempadan negara juga akan terus dipertingkatkan untuk mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara kita.
“Sempadan negara kita masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ketat,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Situasi Semasa Jangkitan Covid-19.
Muhyiddin berkata, walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada mereka yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara daripada wabak yang mengancam nyawa ini.
“Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berpada-pada dan mengambil pengajaran daripada gelombang baharu yang melanda negara lain akibat tidak patuh kepada SOP ditetapkan.
“Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang masih berusaha keras menangani penularan jangkitan Covid-19 yang belum lagi menunjukkan tanda untuk reda.
“Malah, beberapa buah negara kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan Covid-19. Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh penularan wabak ini di peringkat global,” katanya.-MT