Sepatutnya 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dilantik secara tetap- CUEPACS

0
476
Presiden CUEPACS, Adnan Mat

CYBERJAYA- Kenapa hanya sambung kontrak selama enam bulan?, sepatutnya 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dilantik secara tetap.

Itu nada kecewa dan kesal Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dengan keputusan Kementerian Kesihatan semalam.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, KKM tiada alasan untuk tidak melantik mereka secara tetap memandangkan kerajaan sudah meluluskan 10,560 waran perjawatan.

Katanya, tindakan menyambung kontrak secara ‘one off’ itu tidak adil kepada mereka kerana jawatan sudah diwujudkan dan sememangnya mempunyai keperluan mendesak untuk diisi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian itu melantik semua petugas kesihatan yang berstatus kontrak, terutama bertugas di barisan hadapan ke jawatan tetap.

“CUEPACS terkejut dan terkilan kerana petugas kesihatan ini tidak dilantik secara tetap memandangkan kementerian menerima kelulusan 10,675 perjawatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini. 

“Pengumuman lanjutan kontrak selama enam bulan lagi amat mendukacitakan CUEPACS dan semua petugas kesihatan berstatus kontrak kerana seolah-olah pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, kontrak perkhidmatan seramai 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi KKM disambung secara ‘one-off’ untuk tempoh enam bulan lagi.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, daripada 10,675 perjawatan baharu yang diluluskan JPA, kerajaan menyerahkan 385 waran perjawatan bagi pengoperasian Hospital Rembau, Negeri Sembilan, pada 2 Disember 2019 (Fasa Pertama).

“Yang terbaru adalah pada 10 September 2020 (fasa kedua) apabila kerajaan menyerahkan 5,203 perjawatan baharu bagi digunakan untuk fasiliti kesihatan yang siap sehingga Jun lalu membabitkan 54 fasiliti kesihatan sedia ada dan baharu di seluruh negara. 

“Baki sebanyak 5,087 jawatan pula akan diserahkan kepada KKM pada fasa seterusnya apabila fasiliti kesihatan siap dan bersedia beroperasi sepenuhnya. 

“Sewajarnya keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan perjawatan sedia ada memandangkan pengalaman mereka yang sudah bertugas di lapangan,” katanya.

Selain itu, pemberian lantikan tetap juga dapat memberi motivasi kepada perkhidmatan cemerlang mereka dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19.

“CUEPACS tidak mahu motivasi kerja petugas kesihatan yang dilantik secara kontrak ini terjejas di kala negara masih memerlukan khidmat bakti mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here