SKMM keluar Surat Amaran Akhir kepada TM

0
353

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengemukakan Surat Amaran Akhir kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) berhubung dakwaan syarikat telekomunikasi itu mengurangkan kelajuan pakej Internetnya, Unifi.

Jabatan Komunikasi SKMM berkata, surat tersebut mengarahkan TM memperbetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran hebahan serta membuat pelan komunikasi kepada pelanggan terjejas.

“TM mestilah pada sepanjang masa mengamalkan cara perniagaan beretika dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat.

“TM juga diingatkan untuk memastikan pelanggan menikmati kualiti perkhidmatan seperti yang terdapat dalam pakej yang dilanggan dan memberitahu pelanggan tentang isu-isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu,” katanya.

Pelanggan TM baru-baru ini membuat aduan mengenai pengurangan kelajuan pakej Unifi berbeza dengan apa yang ditawarkan.

SKMM berkata, pihaknya akan memastikan hak pelanggan yang terjejas dengan kekeliruan yang timbul berhubung pakej Internet itu ditangani secara adil oleh syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan melalui Surat Amaran Akhir itu boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Undang-undang berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Justeru, SKMM memandang berat kekeliruan yang tercetus dan mengingatkan semua syarikat penyedia perkhidmatan agar memastikan kepentingan pengguna dipatuhi mengikuti amalan perniagaan.

Dalam pada itu, SKMM sedang dalam proses menyemak Kod Amalan Am Pengguna (GCC) agar syarikat perkhidmatan lebih prihatin dalam amalan berkaitan pengguna.

Sebelum ini SKMM menerima aduan pengguna mengenai pengurangan kelajuan muat naik Unifi kepada 100Mbps sejak 2 September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here