Sultan Selangor titah robohkan kilang haram dibina tepi sungai

0
1843
Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini. Gambar ihsan Selangor Royal Office

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, hari ini melahirkan rasa sangat dukacita dengan kejadian gangguan bekalan air yang berulang sekali lagi di Lembah Klang sehingga menyebabkan majoriti rakyat menderita.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam laman Facebook Selangor Royal Office, selepas dimaklumkan mengenai masalah gangguan air itu baginda telah mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari bagi menzahirkan rasa dukacita baginda.

Baginda menitahkan supaya tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas hendaklah diambil bagi memastikan rumah-rumah, kilang-kilang, terutama sekali kilang haram yang terletak berhampiran tebing sungai dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan anak sungai dan sungai di negeri itu.

“Baginda tidak berkenan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.

“Baginda telah lama menitahkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda juga mahu undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku-pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai.

“Penalti yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air. Mereka yang terbukti melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman penjara mandatori serta dikenakan denda yang maksimum,” titah baginda.

Menerusi surat itu juga, baginda turut melahirkan kekhuatiran sekiranya masalah air ini berterusan, rakyat jelata akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan dan seterusnya akan menjejaskan keharmonian sosial.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here