Sungai Gong dicemari lagi, air bertukar hitam

0
557
Pencemaran air di Sungai Gong, Rawang yang menjadikan air berwarna kehitaman.

CYBERJAYA – Selepas lima didakwa atas tuduhan menyebabkan pencemaran Sungai Gong yang menyalurkan air ke loji takungan untuk kegunaan lebih lima juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur, sungai tersebut sekali lagi dicemari, semalam.

Pencemaran yang masih disiasat itu menyebabkan air sungai di Rawang, Selangor itu bertukar menjadi kehitaman.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya hari ini berkata, laporan mengenai pencemaran itu diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak kira-kira pukul 12 tengahari semalam.

Menurut LUAS, siasatan di kawasan inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai tersebut bertukar warna kehitaman dan tidak berbau.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

“Siasatan juga mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di Kawasan Perindustrian Rawang,” katanya.

Pihak berkuasa mengambil sample air untuk diuji.

Menurut LUAS, pensampelan mendapati terdapat 5.2 mg/l ammonia dan 47 mg/l TSS dalam kandungan air dan IWK telah memberhentikan pelepasan discaj efluen.

Siasatan yang dijalankan LUAS bersama Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) di Stesen Pemantauan Sungai Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam tersebut tiada bau dan tiada kesan minyak.

“Tiada henti tugas loji dan gangguan air berlaku yang disebabkan oleh insiden berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here