Syed Saddiq tubuh Parti Muda yang tidak terkongkong dengan politik tua, lama

0
426
Syed Saddiq bersama barisan penaja parti Muda membuat sidang akhbar di hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri hari ini

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini secara rasmi membuat permohonan pendaftaran parti baharu di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini.

Syed Saddiq berkata, parti baharu itu yang dinamakan sebagai Parti Perikatan Demokratik Malaysia (Muda) terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

“Muda mewakili semua lapisan masyarakat tanpa mengira faktor umur, agama dan bangsa

“Muda lebih kepada fahaman, ideologi, idealisme, perjuangan yang inklusif bagi semua. Muda juga akan menjadi parti berbilang bangsa dan agama bagi semua dengan dipimpin oleh majoriti anak muda,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, katanya, parti itu akan memberi lebih tumpuan kepada masalah negara sedia ada dan mahu menggantikan wajah lama dalam politik negara dengan pendekatan lebih segar.

“Muda akan dikepalai oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada ketua pegawai eksekutif muda, cikgu muda, doktor dan petani muda yang sudah berjaya

“Mereka sudah membuktikan kemampuan diri mereka dan kini mereka mahu berbakti semula kepada masyarakat.

“Kita mahu bawa politik baharu dan muda yang tidak lagi terkongkong dengan politik tua dan lama yang akhirnya menyukarkan negara kita untuk maju ke hadapan,” tegasnya.

Sementara itu, ditanya adakah beliau sendiri akan mengepalai parti baharu itu, Syed Saddiq enggan menjawab dan menyebut satu struktur organisasi parti itu akan diumumkan selepas ini. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here