[VIDEO] Terengganu berminat wujudkan Malakat Mall bagi bantu usahawan tempatan

0
1483
Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman(kiri) bersama Mohd Fadzil Hashim melawat kedai-kedai yang berada dalam Malakat Mall

RAUDHAH CITY – Impian penduduk di Terengganu untuk melihat pusat beli belah BMF, Malakat Mall bertapak di negeri itu kian hampir menjadi kenyataan apabila mendapat perhatian daripada pihak kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, pihaknya sangat tertarik dengan konsep yang diketengahkan oleh pusat beli belah itu terutamanya dalam menyediakan peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Terengganu berminat wujudkan Malakat Mall bagi bantu usahawan tempatan

“Kita sangat mengalu-alukan idea ini dan kita sudah ada cadangan untuk menyediakan satu atau dua tempat kepada Malakat Mall.

“Kalau Malakat Mall ada perancangan untuk membuka cawangan ke Melaka dan Johor, untuk perancangan selepas ini perlu juga ada di Terengganu,” katanya kepada Malakat Tribune di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama kakitangan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (Peuter) mengadakan lawatan kerja ke Malakat Mall Cyberjaya.

Sepanjang lawatan hampir tiga jam itu, mereka diberikan penerangan mengenai operasi, misi, visi dan perjuangan pusat beli belah BMF itu oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman (lima dari kiri) bersama rombongan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Peuter bergambar kenangan bersama pihak pengurusan Malakat Mall

Dalam pada itu, menurut Mohd Nurkhuzaini, beliau sudah lama mengimpikan sebuah platform seperti Malakat Mall dalam membantu usahawan di Terengganu.

Beliau berkata, ini kerana di Terengganu sahaja terdapat kira-kira 9,000 usahawan yang berdaftar dan memerlukan tempat untuk memasarkan produk mereka.

“Kalau ikut data, hampir 9,000 usahawan daripada pelbagai kategori mendaftar dengan kita sewaktu Covid-19.

“Pada masa sama, kita juga telah membuat senarai pendek usahawan-usahawan ini dan kita dapati terdapat 30 usahawan dikategorikan sebagai kelas A.

“Cara pembungkusan produk mereka memang keluar daripada kepompong asal dan mereka juga mampu mengeluarkan produk dalam kuantiti yang banyak,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here