Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia mohon maaf pada Veveonah

0
445
Datuk Zahidi Zainul Abidin

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf di atas kesilapan maklumat yang diperolehnya mengenai pelajar sebuah universiti, Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Menurut Zahidi dalam satu hantaran menerusi Facebook rasminya hari ini, beliau memohon maaf atas kesilapan itu dan akan membuat pembetulan dalam sidang Dewan Negara pada Isnin ini.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan.

“Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya.

Ketika menjawab satu soalan tambahan dalam Dewan Negara hari ini, Zahidi berkata hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Bagaimanapun, Veveonah dalam laporan sebuah portal menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa dia memang mengambil peperiksaan seperti dalam video itu.

Jun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan video Veveonah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian menjadi tular di media sosial.

Rakaman video yang tular itu bukan sahaja menarik perhatian orang ramai malah turut mendapat perhatian menteri dan penyedia perkhidmatan internet bagi menyelesaikan isu tersebut di kawasan pedalaman. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here