Tun pilih Shafie sebagai PM jika pembangkang menang PRU-15

0
445

Mohd Shafie Afdal

SHAH ALAM – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebagai calon Perdana Menteri sekiranya blok pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, walaupun gagal mempertahankan kerajaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, Shafie kekal antara calon paling layak untuk membentuk kerajaan.

“Dia masih (salah) satu dari calon,” katanya seperti dilaporkan portal berita, The Malaysian Insight (TMI) hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau kecewa apabila Warisan kalah pada PRN Sabah kerana mempunyai harapan yang tinggi  pengundi akan menolak Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.

“(Sudah tentu) saya kecewa. Saya harap rakyat Sabah menolak orang yang menggunakan cara tidak betul untuk ambil alih kerajaan.

“Mereka dengan sengaja meruntuhkan kerajaan dengan membayar ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk lompat (tinggalkan parti).

“Kalau ini jadi satu amalan di Malaysia, tamatlah demokrasi kerana mereka yang ada duit boleh beli mana-mana kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir tetap mengucapkan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan berharap keputusan itu akan membawa ke arah kestabilan negeri Sabah.

“Saya ucap tahniah pada mereka yang menang (PRN Sabah). Saya harap dengan ini keadaan di Sabah akan jadi lebih stabil dan tiada lagi percubaan untuk rampas kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here