UiTM perkenal penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu

0
220
Majlis Konvokesyen sememangnya saat yang dinanti-nantikan oleh semua graduan

CYBERJAYA- Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan memperkenalkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu bagi menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan (4K) para graduan, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Mohd Azraai Kassim berkata, langkah alternatif itu dilakukan berikutan pandemik Covid-19 masih berleluasa dengan peningkatan kes yang tidak menentu.

“Menyedari hakikat inilah maka Pengurusan Tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat para graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana kebiasaan baharu.

“Janji temu yang diperkenalkan ini mengambil kira pelbagai aspek berkaitan 4K dengan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azraai, penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu akan dilaksanakan bermula 7 Nov sehingga 9 Jan tahun depan, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang namun tertakluk kepada sebarang pindaan.

“Sesi penganugerahan itu akan dilakukan di UiTM Shah Alam dan seluruh kampus cawangan, berdasarkan pemilihan kampus terdekat oleh graduan tanpa mengambil kira tempat asal pengajian,” katanya.

Azraai berkata, melalui penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan, dan menerima skrol serta transkrip sebagaimana istiadat konvokesyen secara konvensional.

Difahamkam, sebanyak 22,834 graduan akan terlibat bagi Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here